Jumat, 21 Agustus 2009

INDAHNYA RAMADHAN




Sahabat, berikut saya sampaikan beberapa agak banyak hadits tentang berpuasa semoga bermanfaat.

606 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu

607 Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya:

Nabi s.a.w telah menyebut tentang bulan Ramadan dengan sabdanya: Janganlah kamu berpuasa sebelum kamu melihat anak bulan Ramadan dan janganlah kamu berbuka sebelum kamu melihat anak bulan Syawal. Sekiranya ia dilitupi awan, hendaklah kamu menghitungnya

608 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu melihat anak bulan Ramadan, hendaklah kamu berpuasa. Apabila kamu melihat anak bulan Syawal, hendaklah kamu berbuka. Jika ianya dilitupi terhadap kamu, berpuasalah selama tiga puluh hari

609 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa

610 Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w pernah bersumpah tidak akan menemui sebahagian isteri-isteri baginda selama sebulan. Namun apabila berlalu dua puluh sembilan hari, baginda telah menemui mereka. Kemudian baginda diingatkan: Wahai Rasulullah! Engkau telah bersumpah tidak akan menemui kami selama sebulan. Baginda pun menjawab: Dalam sebulan itu ada yang mempunyai dua puluh sembilan hari

611 Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a katanya:

Nabi s.a.w telah bersabda: Dua bulan yang terdapat Hari Raya, tidak mengurangkan jumlahnya. Iaitu bulan Ramadan dan Zulhijah

612 Diriwayatkan daripada Adiy bin Hatim r.a katanya:

Ketika turunnya ayat: Yang bermaksud: Sehingga nyata bagimu benang yang putih iaitu cahaya siang dari benang yang hitam iaitu kegelapan malam atau fajar. Adiy bin Hatim berkata kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Aku telah meletakkan dua tali igal, satu berwarna putih dan satu lagi berwarna hitam, sama-sama di bawah bantalku supaya aku dapat mengenali antara waktu malam dan waktu siang dengan mudah. Rasulullah s.a.w bersabda: Bantalmu itu sangat lebar. Sesungguhnya maksud benang putih dan benang hitam itu adalah waktu menjelang pagi dan waktu menjelang malam iaitu gelapnya malam

613 Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:

Ketika turunnya ayat: Yang bermaksud: Sehingga nyata bagimu benang yang putih dari benang yang hitam. Beliau berkata: Seorang lelaki telah mengambil seutas benang yang berwarna putih dan seutas lagi berwarna hitam. Lalu beliau terus makan sehingga kedua benang tersebut kelihatan jelas olehnya. Sehingga Allah menurunkan ayat yang berikutnya: Yang bermaksud: Iaitu fajar. Sebagai keterangan bagi ayat sebelumnya

614 Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila Bilal memperdengarkan azan pada malam hari, makan dan minumlah sehingga kamu mendengar azan yang akan diperdengarkan oleh Ibnu Ummi Maktum

615 Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu jadikan laungan azan Bilal atau seruan Bilal sebagai pencegah seseorang di antara kamu dari makan sahur kerana laungan azan atau seruan azan Bilal pada malam hari adalah untuk memberi peringatan kepada seseorang dari kamu yang kebetulan masih mengerjakan sembahyang malam atau untuk membangunkan kamu dari tidur. Sabda baginda lagi: Janganlah kamu hiraukan ucapan seseorang tentang fajar itu adalah begini, begini sambil baginda membetulkan tangannya kemudian mengangkatnya ke atas dengan mengatakan bahawa fajar ialah begini sambil merenggangkan di antara dua jari baginda

616 Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya

617 Hadis Zaid bin Thabit r.a katanya:

Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun menunaikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat

618 Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa

619 Diriwayatkan daripada Saidina Umar r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila datangnya malam, berlalulah siang dan tenggelamlah matahari. Orang yang berpuasa pun bolehlah berbuka

620 Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa r.a katanya:

Kami pernah musafir bersama Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan. Ketika matahari sudah mulai terbenam, baginda memerintahkan kepada seseorang dengan sabdanya: Wahai Si Polan! Turun dan siapkanlah hidangan. Si Polan itu berkata: Wahai Rasulullah s.a.w! Hari masih siang. Baginda mengulangi lagi sabdanya: Turun dan siapkanlah hidangan. Si Polan itu pun turun menyiapkan hidangan serta membawanya kepada baginda. Baginda menikmati hidangan tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda sambil memberi isyarat dengan kedua tangannya: Apabila matahari sudah mulai terbenam di arah sana dan malam pun telah datang dari arah sana, bolehlah berbuka bagi orang yang berpuasa

621 Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya:

Nabi s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Para Sahabat bertanya: Bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu? Nabi s.a.w menjawab: Aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Allah

622 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Kemudian seorang lelaki dari kalangan orang Islam telah bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah di antara kamu yang boleh menyamai aku? Sesungguhnya di malam hari aku diberi makan dan minum olah Tuhanku. Apabila mereka tetap enggan dari mengakhiri menyambung puasa (tidak mahu berbuka), Rasulullah s.a.w sengaja membiarkannya satu atau dua hari. Namun pada hari ketiga mereka melihat anak bulan. Rasulullah s.a.w pun bersabda: Sekiranya anak bulan itu terlewat datang, tentu aku akan terus menyambung puasa kamu. Baginda seakan-akan memberi peringatan kepada mereka kerana keengganan mereka berhenti dari menyambung puasa

623 Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya:

Rasulullah s.a.w pernah mengerjakan sembahyang di bulan Ramadan. Sebentar kemudian aku datang lalu ikut berdiri di samping baginda. Kemudian datang lagi orang lain dan ikut berdiri di sampingku begitulah seterusnya sehingga jumlahnya menjadi satu kumpulan. Apabila Nabi s.a.w menyedari kami berada di belakang, baginda mempercepatkan sembahyang kemudian bergegas masuk ke rumah untuk meneruskan sembahyang. Baginda tidak lagi sembahyang bersama kami. Keesokan harinya kami bertanyakan hal itu kepada baginda: Adakah semalam engkau sengaja memberikan pelajaran kepada kami? Baginda menjawab: Betul, itulah sebab yang mendorongku melakukannya. Anas r.a berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w menyambung puasa. Hal itu terjadi di akhir bulan Ramadan. Beberapa orang Sahabat juga turut menyambung puasa. Rasulullah s.a.w kemudiannya bersabda: Mengapa pula mereka mengikutku menyambung puasa, sedangkan mereka tidak seperti aku. Demi Allah! Seandainya bulan ini ditambah untukku, tentu aku akan terus berpuasa sehingga mereka yang memberati diri mereka itu berhenti dari memberati diri mereka

624 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w melarang para Sahabat dari menyambung puasa semata-mata kerana didorong oleh perasaan kasihan belas terhadap mereka. Kemudian mereka bertanya: Bukankah kamu sendiri menyambung puasa, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Sesungguhnya aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Tuhanku

625 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w mencium salah seorang isteri baginda sewaktu sedang berpuasa lalu baginda tersenyum

626 Diriwayatkan daripada Umar bin Abu Salamah r.a katanya:

Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Bolehkah orang yang sedang berpuasa mencium isterinya? Rasulullah s.a.w menjawab: Tanyakan kepada wanita ini sambil menunjuk ke arah Ummu Salamah yang kemudian memberitahu kepadanya bahawa Rasulullah s.a.w pernah melakukannya. Lalu Umar bin Abu Salamah berkata: Wahai Rasulullah! Bukankah Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu dan yang akan datang? Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah aku adalah orang yang paling bertakwa dan paling merasa takut kepada Allah daripada kamu

627 Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah r.a, kedua-duanya berkata::

Nabi s.a.w bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa

628 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Binasalah aku wahai Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang telah membinasakanmu? Lelaki itu menjawab: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada siang hari di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w bertanya: Mampukah kamu memerdekakan seorang hamba? Lelaki itu menjawab: Tidak. Rasulullah s.a.w bertanya: Mampukah kamu berpuasa selama dua bulan berturut-turut? Lelaki itu menjawab: Tidak. Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Mampukah kamu memberi makan kepada enam puluh orang fakir miskin? Lelaki itu menjawab: Tidak. Kemudian duduk. Rasulullah s.a.w kemudiannya memberikan kepadanya suatu bekas yang berisi kurma lalu bersabda: Sedekahkanlah ini. Lelaki tadi berkata: Tentunya kepada orang yang paling miskin di antara kami. Tiada lagi di kalangan kami di Madinah ini yang lebih memerlukan dari keluarga kami. Mendengar ucapan lelaki itu Rasulullah s.a.w tersenyum sehingga kelihatan sebahagian giginya. Kemudian baginda bersabda: Pulanglah dan berilah kepada keluargamu sendiri

629 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Celakalah aku. Rasulullah s.a.w bertanya dengan sabdanya: Kenapa? Lelaki tadi menjawab: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada siang hari di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w berkata: Bersedekahlah, bersedekahlah. Lelaki tadi berkata: Aku tidak memiliki apa-apa. Rasulullah s.a.w lalu menyuruhnya duduk. Kemudian baginda memberikan kepadanya dua bekas yang berisi makanan lalu memerintahkan agar menyedekahkannya

630 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah keluar pada tahun pembukaan Kota Mekah di bulan Ramadan. Baginda berpuasa hinggalah tiba di Daerah al-Kadid, baginda pun berbuka. Para Sahabat Rasulullah s.a.w mengambil hukum dengan mengikuti kejadian demi kejadian berdasarkan perintah baginda

631 Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya:

Sewaktu Rasulullah s.a.w musafir, baginda melihat seorang lelaki sedang dikerumuni oleh orang ramai sehingga dia hampir-hampir tidak dikenali. Rasulullah s.a.w kemudian bertanya: Mengapa dengannya? Para Sahabat menjawab: Dia adalah seorang yang berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda: Bukanlah termasuk dari suatu kebaikan berpuasa di dalam perjalanan iaitu musafir

632 Hadis Anas r.a: Diriwayatkan daripada Humaid r.a katanya:

Anas r.a pernah ditanya tentang berpuasa sewaktu musafir di bulan Ramadan. Katanya: Kami pernah musafir bersama Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan. Orang yang berpuasa tidak mencela orang yang berbuka dan sebaliknya orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa

633 Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya:

Kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan. Di antara kami ada yang tetap berpuasa dan ada pula yang berbuka. Kami berhenti di suatu tempat ketika hari sedang panas terik. Di kalangan kami, orang yang paling banyak mendapat naungan ialah orang yang berpakaian lengkap. Sementara orang yang tidak berpakaian lengkap, melindungi kepala mereka dari panas cahaya matahari dengan meletakkan tangan di atas kepala. Ketika itu orang yang berpuasa berada dalam keadaan sangat letih tidak seperti orang yang berbuka, keadaan mereka tetap segar. Kemudian mereka mendirikan peneduh dan memberi minum binatang tunggangan mereka. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Jelaslah orang yang berbuka hari ini, pergi dengan membawa bersama pahalanya

634 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya:

Hamzah bin Amru al-Aslami pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai masalah berpuasa dalam perjalanan iaitu musafir. Baginda bersabda: Sekiranya kamu ingin berpuasa teruskanlah dan jika kamu ingin berbuka, berbukalah

635 Diriwayatkan daripada Abu Darda' r.a katanya:

Kami pernah keluar bersama Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan dalam cuaca yang panas terik sehingga ada sebahagian daripada kami yang terpaksa meletakkan tangan di atas kepala untuk berlindung dari panas matahari. Di kalangan kami tiada yang berpuasa melainkan Rasulullah s.a.w dan Abdullah bin Rawahah

636 Diriwayatkan daripada Ummu al-Fadhil binti al-Haris r.a katanya:

Beberapa orang yang berada berhampirannya pada hari Arafah berbincang mengenai puasa Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka berkata baginda berpuasa. Sebahagian lain pula berkata tidak lalu aku mengirimkan segelas susu kepada baginda yang pada ketika itu kebetulan sedang berada di atas unta di Arafah lantas bginda meminumnya

637 Diriwayatkan daripada Ummu al-Fadhli r.a katanya:

Ramai daripada kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah s.a.w lalu aku membawa kepada baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu baginda berada di Arafah lantas baginda meminumnya

638 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya:

Kaum Quraisy di zaman jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah s.a.w juga berpuasa pada hari itu. Setelah berhijrah ke Madinah, baginda tetap berpuasa dan memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari itu. Setelah difardukan puasa bulan Ramadan, baginda bersabda: Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari itu berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan meninggalnya

639 Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya:

Orang-orang jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah s.a.w dan orang-orang Islam sebelum diwajibkan berpuasa bulan Ramadan juga berpuasa pada hari tersebut. Setelah puasa Ramadan diwajibkan, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Asyura itu adalah hari-hari Allah. Sesiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan berbuka

640 Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:

al-Asy'as bin Qais datang menemui Abdullah ketika beliau sedang makan. Abdullah berkata: Wahai Abu Muhammad marilah kita makan bersama. Dia menjawab: Bukankah hari ini adalah hari Asyura? Beliau kemudian bertanya: Kamu tahu apakah hari Asyura itu? Dia menjawab: Apakah ia? Beliau menjelaskan: Ianya merupakan hari di mana Rasulullah s.a.w berpuasa sebelum puasa bulan Ramadan diwajibkan. Setelah puasa bulan Ramadan diwajibkan, ia ditinggalkan

641 Hadis Muawiah bin Abu Sufian r.a: Diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman katanya:

Dia pernah mendengar Muawiah bin Abu Sufian r.a menyampaikan khutbah di Madinah pada hari Asyura ketika beliau berkunjung ke kota tersebut, katanya: Di manakah ulama-ulama kamu wahai sekalian penduduk Madinah? Ketahuilah aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda mengenai hari ini, iaitu hari Asyura: Pada hari Asyura ini Allah tidak mewajibkan berpuasa kepada kamu. Tetapi aku sendiri berpuasa pada hari ini. Sesiapa di antara kamu yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa ingin berbuka, berbukalah

642 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut

643 Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya:

Hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan menjadikannya sebagai Hari Raya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah kamu pada hari Asyura tersebut

644 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Ibnu Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sehari pada hari Asyura kerana mencari kelebihan iaitu fadhilat yang tidak ada pada hari-hari yang lain selain dari hari ini. Aku juga tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan ini, iaitu bulan Ramadan

645 Diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa' r.a katanya:

Rasulullah s.a.w pernah mengutuskan seorang lelaki dari Kaum Aslam pada hari Asyura supaya melaungkan kepada orang ramai tentang sesiapa yang tidak berpuasa, hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang telah terlanjur makan, hendaklah dia menyempurnakan hari tersebut dengan berpuasa sehingga menjelang malam

646 Diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi' binti Muawwiz bin Afra' r.a katanya:

Pada hari Asyura, Rasulullah s.a.w telah mengirimkan surat ke perkampungan-perkampungan Ansar di sekitar Madinah yang berbunyi: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat dari bulu biri-biri. Jika ada di antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan tersebut sehingga tiba waktu berbuka

647 Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a katanya:

Dua hari ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w dari berpuasa. Hari kamu berbuka dari puasa kamu iaitu puasa Ramadan dan satu lagi pada hari kamu makan setelah menunaikan ibadat Haji

648 Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya:

Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu, iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka dari bulan Ramadan (Aidilfitri)

649 Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya:

Seorang lelaki datang menemui Ibnu Umar lalu berkata: Aku telah bernazar untuk berpuasa satu hari yang kebetulan bertepatan dengan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Aidilfitri. Ibnu Umar r.a berkata: Allah telah memerintahkan agar menunaikan janji dan Rasulullah s.a.w melarang berpuasa pada hari ini

650 Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Diriwayatkan daripada Muhammad bin Abbad r.a katanya:

Aku pernah bertanya kepada Jabir bin Abdullah r.a ketika beliau sedang melakukan tawaf di Baitullah: Adakah Rasulullah s.a.w melarang dari berpuasa pada hari Jumaat sahaja? Beliau menjawab: Ya, demi Tuhan Baitullah ini

651 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang di antara kamu berpuasa jika hanya pada hari Jumaat sahaja melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya

652 Diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa' r.a katanya:

Ketika turun ayat: Yang bermaksud: Dan diwajibkan bagi orang yang tidak terdaya melakukannya iaitu berpuasa supaya membayar fidyah (memberi makan kepada orang miskin). Menyebabkan ada seseorang yang ingin berbuka dan membayar fidyah. Sehingga turunlah ayat berikutnya yang menasakhkannya

653 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya:

Aku mempunyai puasa ganti bulan Ramadan tetapi aku tidak berkuasa menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban disebabkan kesibukan dari Rasulullah s.a.w atau kesibukan dengan Rasulullah s.a.w

654 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti, maka diwajibkan ke atas walinya supaya berpuasa sebagai gantinya

655 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Ibuku telah meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti selama sebulan. Baginda bertanya kepada wanita itu dengan sabdanya: Bagaimana pendapatmu jika ibumu itu masih mempunyai hutang, adakah kamu akan membayarnya? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dibayar

656 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa

657 Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya

658 Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun

659 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah

660 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Rasulullah s.a.w tidak pernah berpuasa satu bulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Baginda akan berpuasa jika ingin berpuasa, sehingga seseorang pernah berkata: Demi Allah, baginda tidak berbuka. Baginda juga pernah tidak berpuasa begitu lama sehingga seseorang pernah berkata: Demi Allah, baginda seperti tidak pernah berpuasa iaitu hanya berpuasa sekali sekala sahaja

661 Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya:

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w selalu berpuasa sehingga ada yang mengatakan baginda seakan-akan berpuasa terus-menerus dan pernah juga baginda tidak berpuasa sehingga ada yang mengatakan baginda jarang sekali berpuasa

662 Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah diberitahu bahawa aku pernah berkata: Aku akan beribadat di waktu malam dan akan berpuasa pada siang hari sepanjang hidupku. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkaukah yang telah berkata demikian? Aku berkata kepada baginda: Akulah yang telah berkata demikian wahai Rasulullah s.a.w! Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau tidak akan berkuasa melakukannya. Baginda menambah: Berpuasa dan berbukalah. Tidur dan beribadatlah di waktu malam. Berpuasalah tiga hari dalam sebulan kerana satu kebajikan itu akan dibalas dengan sepuluh kebajikan yang menyamai berpuasa setahun. Lalu aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: Aku mampu melakukan lebih dari itu. Baginda bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah dua hari. Aku berkata kepada baginda: Aku mampu berbuat lebih dari itu. Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Itulah cara puasa Nabi Daud a.s dan puasa yang sederhana. Aku berkata lagi: Aku masih mampu berbuat lebih dari itu. Baginda bersabda: Tiada yang lebih baik dari itu. Abdullah bin Amru r.a berkata: Tentu saja aku terima berpuasa tiga hari sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w yang aku lebih cintai daripada isteri dan hartaku

663 Diriwayatkan daripada Imran bin Hussain r.a katanya:

Nabi s.a.w telah bersabda kepadaku atau kepada seorang lelaki: Adakah kamu berpuasa pada pertengahan bulan Syaaban? Aku menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Kalau begitu, berpuasalah selama dua hari

664 Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya:

Terdapat beberapa orang dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w telah bermimpi melihat Lailatulqadar pada tujuh hari yang terakhir. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengikut Pandanganku, mimpi kamu bertepatan dengan tujuh hari yang terakhir. Oleh itu sesiapa yang ingin mencarinya hendaklah mencarinya pada tujuh hari yang terakhir tersebut

665 Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya:

Rasulullah s.a.w pernah beriktikaf iaitu berada di dalam masjid selama sepuluh hari pada pertengahan bulan Ramadan. Selepas berlalu malam yang kedua puluh dan memasuki hari atau malam yang kedua puluh satu baginda pulang ke rumahnya. Para Sahabat yang beriktikaf bersama-sama baginda juga turut pulang. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda di bulan Ramadan yang sama dan waktu yang sama di mana baginda pulang ke rumah, setelah menyuruh atau mengajak mereka supaya selalu tabah terhadap kehendak Allah dengan sabdanya: Aku telah beriktikaf selama sepuluh hari dan kemudian aku lanjutkan selama sepuluh hari yang berikutnya. Oleh itu sesiapa yang ingin melanjutkan iktikaf bersamaku, tetaplah berada di tempat iktikafnya. Aku telah bermimpi melihat Lailatulqadar tetapi aku terlupa waktunya. Carilah ia dalam sepuluh hari ganjil yang terakhir. Pada waktu itulah aku melihat aku sedang sujud pada air dan tanah. Abu Said al-Khudri r.a berkata: Kami dibasahi hujan pada malam hari yang kedua puluh satu. Masjid telah basah, begitu juga dengan tempat sembahyang Rasulullah s.a.w. Aku melihat ke arah baginda setelah selesai mengerjakan sembahyang subuh. Wajah baginda basah terkena lumpur dan air

666 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan

Official Free Search Engine Submission


Google Search